News & Events

[ 23-08-2013 ]

Oleh Riadz Radzi

Selepas sembilan album studio, ribuan konsert di seluruh dunia, tiga anggota bertukar (termasuk seorang meninggal dunia) dan lebih tepat lagi selepas 31 tahun sejak ditubuhkan pada penghujung 1981, kumpulan heavy metal Metallica akhirnya tiba di Malaysia dalam konsert Metallica Live in Malaysia 2013 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Sejak beberapa bulan lalu, kedatangan Metallica sudah heboh diperkatakan baik di media arus perdana, laman Facebook, Twitter dan blog-blog individu. Ramai yang seolah-olah tidak percaya Metallica akan singgah di Malaysia dalam konsert jelajah mereka dan malam kelmarin ia akhirnya menjadi realiti.

Seawal jam 3 petang, perkarangan Stadium Merdeka sudah sesak dengan penonton walaupun konsert hanya dijadualkan bermula jam 9 malam. 

Yang pasti, penantian peminat di sini cukup berbaloi apabila hampir 30,000 penonton yang hadir puas dan teruja dengan aksi mantap daripada James Hetfield (vokal, gitar), Lars Ulrich (dram), Kirk Hammett (gitar) dan Robert Trujillo (bass).

FotoFotoFotoFotoFoto

JAMES


Mereka yang masing-masing sudah berusia setengah abad nampaknya cukup bertenaga. James, 50; Kirk, 51; dan Robert, 49, aktif bergerak dan berlari ke kanan, kiri, atas dan bawah pentas gergasi bertingkat itu. Malah, Lars, 50, sekali-sekala berlari dari set dramnya ke bahagian depan pentas untuk berkomunikasi dengan penonton.


“Hakikatnya kami semakin tua. Lihat kumpulan Rolling Stones yang anggotanya sudah berusia lebih 60 tahun tetapi mereka masih lagi aktif. Saya tak tahu bila kami akan berhenti. Apa yang pasti kami gembira dengan apa yang kami lakukan.

“Sebenarnya tidak ada istilah bersara dalam muzik kerana ia ada dalam jiwa anda.”

Itu kata James kepada RAP yang diberi peluang menemu bual pengasas Metallica itu beberapa jam sebelum konsert berkenaan, petang kelmarin.

Tepat jam 9 malam, stadium bergema dengan muzik instrumental berjudul The Ecstasy of Gold sekali gus menandakan Metallica akan memulakan persembahan mereka. Lagu ciptaan komposer Ennio Morricone yang dipetik dari ‘soundtrack’ filem The Good, The Bad, The Ugly pada 1966 itu digunakan Metallica sebagai pembuka tirai setiap konsert mereka sejak 1983. 

Sebaik lagu berkenaan berakhir, kelibat empat pemuzik hebat ini mula kelihatan di atas pentas dan tanpa sebarang pembuka bicara, Metallica memulakan persembahan ‘live’ pertama mereka di Malaysia dengan lagu Hit The Lights. Ironinya, lagu terbabit juga adalah dari album pertama mereka berjudul Kill ‘Em All pada 1983.

Bagi peminat tegar Metallica di sini, kedatangan mereka sememangnya sudah lama dinantikan. Bermula dengan mendengar lagu-lagu mereka dalam kaset membawa ke cakera padat, menonton konsert mereka dalam pita video, video cakera padat (VCD), cakera padat digital (DVD) hinggalah sekarang di YouTube, barulah peminat di Malaysia dapat menyaksikan sendiri aksi Metallica di depan mata sendiri!

Justeru, tidak hairanlah ada yang mengaku amat teruja, meremang bulu roma, malah menitiskan air mata apabila melihat James, Lars, Kirk dan Robert beraksi di depan mereka!

Stadium makin menggegar sebaik James dan Kirk memulakan intro riff lagu Master of Puppets sebagai lagu kedua. Lagu daripada album ketiga mereka ini sememangnya lagu wajib dan ‘anthem’ dalam setiap konsert mereka. Rata-rata penonton yang sudah menghafal lirik lagu ini sejak sekian lama tidak melepaskan peluang menyanyikan bersama.

“Saya minta maaf kerana anda terpaksa menunggu selama 31 tahun, tetapi rasanya masih belum terlambat,” kata James sebaik mereka menamatkan lagu ketiga iaitu Fuel. 

“Disebabkan anda sudah menunggu terlalu lama, kami akan memberikan yang terbaik kerana anda layak menerimanya,” katanya yang kemudian memulakan intro lagi Harvester Of Sorrow daripada album keempat ...And Justice For All sekali gus membuatkan penonton semakin tidak senang duduk!

Keseluruhannya Metallica membawakan 18 lagu dalam persembahan hampir dua jam itu antaranya Fade To Black, Ride The Lightning, Cyanide, Welcome Home (Sanitarium), Sad But True, Orion, One, For Whom The Bell Tolls, Blackened, Nothing Else Matters, Enter Sandman sebelum mereka menutup persembahan dengan tiga lagu ‘encore’ iaitu Creeping Death, Battery dan Seek & Destroy.

Dengan pentas gergasi, sistem bunyi dan pencahayaan canggih serta kemahiran Metallica mengawal instrumen masing-masing dan sambutan hebat penonton menjadikan konsert ini antara yang paling diingati di sini. Mungkin ia tidak sehebat konsert-konsert gergasi mereka di Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi persetujuan Metallica memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert jelajah mereka sudah cukup membuatkan ia menjadi yang terbaik.

Rata-rata penonton amat berpuas hati dengan susunan lagu mereka yang kebanyakannya daripada lima album terawal mereka iaitu Kill Em All, Ride The Lightning (1984), Master Of Puppets (1986), And Justice For All (1988) serta Metallica (juga dikenali sebagai ‘black album’) pada 1991.

Melalui album-album inilah penonton yang kebanyakannya berusia 30-an ke atas membesar dengan lagu-lagu Metallica berbanding album selepasnya iaitu Load (1996), Reload (1997), St Anger (2003) dan Death Magnetic pada 2008 yang kurang popular.

Terdahulu, konsert anjuran Galaxy Group dengan kerjasama LAMC Productions dan Rockstar Touring ini turut menampilkan persembahan kumpulan thrash metal popular tempatan iaitu Cromok.

Konsert berkenaan turut mendapat sokongan Malaysia Major Events sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/23





Bookmark and Share